Photobucket

Monday, November 29, 2010

Mengapa Saya Sayang Islam?

"Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan dibelakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya." (Surah Al-Baqarah : 255)
Saya dipertemukan dengan seorang yang mempunyai masalah kemurungan sehingga dia lebih cenderung untuk keluar dari Islam. Dalam sesi berbual, dia bertanyakan satu soalan yang tidak terfikir dalam 'kepala otak' saya. Soalan ini juga membuat saya terfikir, apa yang boleh membuatkan orang bukan Islam mahu masuk Islam? Adakah kerana jubah? Tasbih? Kejayaan politik?
Soalannya, "kenapa awak mencintai Islam?" Saya terpaku beberapa ketika.... (diringkaskan) dan kemudian menjawab seperti di bawah ini dengan sedikit pengubahsuaian  supaya lebih dramatik. Jika anda mungkin ditanya soalan yang sama atau anda mungkin bertanya pada diri sendiri, mungkin sedikit sebanyak dapat membantu.
1. Islam Membawa Berita Gembira Pada Saya
Islam adalah cara hidup yang benar-benar diperlukan oleh setiap manusia yang inginkan kehidupan yang bahagia seterusnya ke arah masyarakat yang harmoni.
Adakah wujud satu kitab yang menghimpunkan ilmu, sejarah peradaban, akhlak dan adab, perdagangan, kejadian bangsa-bangsa terdahulu, makanan dan minuman, undang-undang, hukuman dan pelbagai lagi berkaitan dengan kehidupan untuk kita jadikan pelajaran? Belum lagi dikira kehidupan sebelum kehidupan dan kehidupan selepas mati.
Firman Allah S.W.T :
"Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya. Ia membawa berita yang menggembirakan (bagi orang beriman) dan membawa amaran (bagi orang yang ingkar)." (Surah Al-Fussiliat : 3-4)
Sejarah membuktikan sebelum datangnya Islam, manusia hidup penuh huru-hara. Undang-undang buatan mereka hanya agak-agak sahaja, sehingga anak-anak perempuan dibunuh, wanita datang haid hendaklah diasingkan, orang yang beribadah tidak boleh berkahwin dan sebagainya.
Firman Allah S.W.T :
"Sesungguhnya Kami menjadikan Al Qur'an dalam bahasa Arab supaya kamu memahami (nya). Dan sesungguhnya Al Qur'an itu dalam induk Al Kitab (Lohmahfuz) di sisi Kami, adalah benar-benar tinggi (nilainya) dan amat banyak mengandung hikmah." (Surah Az-Zukhruf : 3-4)
Firman Allah S.W.T :
"Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al Qur'an untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?" (Surah Al-Qamar : 17)
Datangnya Islam membawa lembaran baru buat manusia, bukan sahaja membawa perubahan dalam ibadah, tetapi juga sistem pemerintahan, ekonomi, pendidikan dan sosial kemasyarakatan sehingga membentuk sebuah tamadun.Tamadun Islam. Itulah yang dimaksudkan dengan berita gembira iaitu; memisahkan antara haq (benar) dengan yang bathil.
2. Islam Membantu Saya Membezakan Kebenaran (Haq) Dan Kebatilan
Kekuasaan Allah Yang Maha Pemurah dapat dilihat di mana-mana. Seluas mata memandang ke langit, lautan dan bumi, maka setiap satunya terdapat tanda-tanda kekuasaan-Nya.
Di langit,
Firman Allah S.W.T :
"Allah-lah Yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kamu lihat, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy, dan menundukkan matahari dan bulan. Masing-masing beredar hingga waktu yang ditentukan. Allah mengatur urusan (makhluk-Nya), menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya), supaya kamu meyakini pertemuan (mu) dengan Tuhanmu." (Surah Ar-Ra'd : 2)
Adakah kekuatan lain yang meninggikan langit tanpa tiang? Adakah batu (musyrik) yang boleh ditinggikan menopang langit? Adakah wang ringgit (taghut) mampu membuat tiang setinggi langit?
Di lautan,
Firman Allah S.W.T :
"Dan Dia-lah, Allah yang menundukkan lautan (untukmu) agar kamu dapat memakan daripadanya daging yang segar (ikan), dan kamu mengeluarkan dari lautan itu perhiasan yang kamu pakai; dan kamu melihat bahtera berlayar padanya, dan supaya kamu mencari (keuntungan) dari karunia-Nya, dan supaya kamu bersyukur." (Surah An-Nahl : 14)
Kita juga disuruh mencari rezeki yang halal. Salah satu kurniaan Allah S.W.T adalah dari dalam lautan. Baik dari segi makanan mahupun perhiasan, semua boleh diniagakan untuk mendapat keuntungan daripada merompak, memeras dan kekejian yang lain.
Di bumi,
Firman Allah S.W.T :
"Dan Dia menancapkan gunung-gunung di bumi supaya bumi itu tidak goncang bersama kamu, (dan Dia menciptakan) sungai-sungai dan jalan-jalan agar kamu mendapat petunjuk." (Surah An-Nahl : 15)
Siapakah yang memasakkan bumi ini dengan gunung agar daratan dan lautan tidak turut berpusing dan berkocak ketika bumi berputar pada paksinya? Adakah ini terjadi secara kebetulan (Ateis)?
Firman Allah S.W.T :
"Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat." (Surah Al-Baqarah : 256)
Kebenaran dan kebatilan telah jelas, segala dalil dan buktinya dapat diperhatikan dimana-mana, di sekeliling dan juga pada diri kita sendiri. Kemudian dia bertanya, "Kenapa mesti Al-Quran? Kenapa kita (orang Islam), sikit-sikit bawa Al-Quran sebagai dalil. Kalau Taurat dan Injil dari Allah, tentu kita boleh guna juga?" Bagi saya jawapannya merupakan satu soalan, iaitu;
3. Kenapa Tiada Kitab Lain Selepas Al-Quran?
Semua manusia mengakui (kecuali Ateis dan segelintir penyembah Taghut) akan kebenaran kitab Taurat, Injil dan Al-Quran sehingga mustahil seluruh penduduk bumi berpakat bersama akan kebenarannya.
Ini kebenaran yang tidak dapat disanggah. Tapi pernahkah kita terfikir kenapa ada kitab lain selepas Taurat? Kenapa ada kitab lain selepas Injil? Tetapi, kenapa tiada lagi sesudah Al-Quran?
Firman Allah S.W.T :
"Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu." (Surah Al-Maidah : 3)
Firman Allah S.W.T di atas adalah jawapan mengapa tiada lagi kitab selepas Al-Quran. Turunnya Al-Quran menandakan kesempurnaan kehidupan yang diperlukan oleh manusia, melalui secara bertahap (suhuf-suhuf, Taurat dan Injil) mengenai kehendak Allah S.W.T. Ini juga menjadi dalil tiada lagi nabi selepas Nabi Muhammad S.A.W. Tapi, tak cukupkah kitab Taurat dan Injil itu? Kenapa mesti diturunkan Al-Quran?
Firman Allah S.W.T :
"Hai Ahli Kitab, sesungguhnya telah datang kepadamu Rasul Kami (Nabi Muhammad s.a.w) menjelaskan kepadamu banyak dari isi Al Kitab yang kamu sembunyikan, dan banyak (pula yang) dibiarkannya. Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan kitab yang menerangkan." (Surah Al-Maidah : 15)
Firman Allah S.W.T :
"Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Qur'an, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya." (Surah Al-Hijr :  9)
Fahami sendiri dua firman Allah S.W.T di atas.
4. Islam Mengajar Saya Tentang Akhlak Pergaulan
Kedatangan Islam dalam kehidupan telah memberi ilmu tentang akhlak yang terpuji. Dahulu, kebanggaan kekayaan menjadi bualan, umpatan dan kejian menjadi mainan, kemudian datanglah Islam memberi ketenangan.
Firman Allah S.W.T :
Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela, yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitungnya, dia mengira bahwa hartanya itu dapat mengekalkannya, sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Huthamah. (Surah Al-Humazah : 1-4)
Berhati-hatilah sesiapa yang suka mengumpat, mengeji dan yang mencari harta sehingga lalai pada perintah Allah, kerana Allah S.W.T menjamin Huthamah. Nabi S.A.W bersabda, orang yang kita ceritakan keburukannya itu adalah umpatan. Jika tidak benar dipanggil fitnah, jika benar dipanggil mencela.
Melalui Al-Quran juga Allah S.W.T menyuruh hambaNya berbuat baik pada ibu-bapa, keluarga, jiran dan seluruh masyarakat tidak kira Islam mahupun bukan Islam (yang tidak memerangi Islam).
Firman Allah S.W.T :
"Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri." (Surah An-Nisa' : 36)
Dilarang sama sekali bersikap sombong, meninggikan diri yang sama sikapnya dengan syaitan yang dilaknat dan kekal dalam neraka ketika enggan sujud dan patuh pada perintah Allah S.W.T.
Pergaulan yang mesra akan menumbuhkan rasa kasih sayang dan kepercayaan pada kita. Janganlah bercakap sesuatu yang menimbulkan provokasi dan sesuatu yang tidak disukai, seperti mencela perbuatan, idea, tindakan dan apa yang boleh menjatuhkan maruahnya kerana kita tidak tahu isi hati orang lain dan apa yang difikirkannya.
Selain itu, janganlah pula kita mudah sangat berasa tersinggung dengan apa yang orang lain katakan pada kita, kerana manusia memang perlukan pujian dan kritikan. Pujian bagi meningkatkan motivasi dan kritikan dapat membendung perasaan kagum dan riak.
Ini salah satu saja, sila rujuk kitab (Nashaihul 'Ibad – Imam Nawawi) banyak lagi yang boleh dipelajari.
5. Islam Diikat Dengan Kasih Sayang Persaudaraan
Umat Islam semua bersatu padu di bawah kalimah Laa ilaa ha il lallah, muhammadar rosulullah dan menghadap kiblat yang sama. Persaudaraan ini terjalin atas kasih sayang yang murni melalui Al-Quran.
Firman Allah S.W.T :
"Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara karena itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat." (Surah Al-Hujuraat : 10)
Firman Allah S.W.T :
"Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu." (Surah An-Nisa' : 1)
Allah S.W.T juga menjanjikan rahmatnya pada sesiapa yang mendamaikan pertelingkahan sesama kita. Sebaliknya pula, kita dilarang memutuskan tali silaturrahim dengan ancaman dilaknati dan dimatikan hatinya agar tidak dapat mendengar dan memahami Al-Quran.
Firman Allah S.W.T :
"Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa, kamu akan membuat kerusakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan? Mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah dan ditulikan-Nya telinga mereka dan dibutakan-Nya penglihatan mereka." (Surah Muhammad : 22-23)
Hadith :
"........sayangilah penduduk bumi, nescaya kalian disayangi penduduk langit......." (Imam Ahmad, dinukil dari tafsir Ibn Katsir)
6. Islam Mengajar Saya Menghargai Waktu
Tiada siapa yang lebih berdisplin daripada orang yang menjaga waktu solatnya. Secara tak langsung pengamalan menjaga waktu solat ini terbawa dalam kehidupan seharian dalam menghargai waktu.
Firman Allah S.W.T :
"Demi masa, Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya menaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran." (Surah Al-'Asr : 1-3)
Imam As-Syafi'I berkata :
"Seandainya manusia benar-benar memahami surah ini, nescaya surah ini mencukupi bagi mereka."
Hadith yang paling umum dan paling ramai orang menghafal, tapi paling sikit yang ambil iktibar. Kita lebih suka mendengar apa yang dikatakan oleh orang bukan Islam dari Nabi S.A.W, kemudian cuba mengait-ngaitkan dengan kehebatan Islam kononnya.
Hadith :
"Ambillah peluang yang lima, sebelum lima : Masa muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, hidup sebelum mati dan lapang sebelum sibuk." (Al-Hakim dan Al-Baihaqi, dinukil dari Nashaihul 'Ibad-Imam Nawawi)
Hadith ini benar-benar menyuruh kita agar memanfaatkan masa dan mencakupi seluruh faktor kehidupan, dari akil baligh hingga mati.
7. Islam Membantu Saya Menenangkan Hati
Al-Quran yang diturunkan bukan sahaja menjadi peringatan dan petunjuk, malah boleh juga dijadikan penawar baik dari segi zahir dan batin. Penawar bagi keresahan, ketakutan, kegelisahan selama ini yang bertumpuk-tumpuk, dengan mudah hilang dengan Al-Quran.
Firman Allah S.W.T :
"(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenteram." (Surah Ar-Ra'd : 28)

Cinta Itu Fitrah

Cinta... satu pengalaman yang dikatakan cukup indah dan kehilangan cinta dikatakan cukup pedih. Bagi saya yang tidak pernah bercinta (tetapi amat percaya pada cinta), saya tidak boleh komen lebih-lebih mengenai perasaan bercinta atau putus cinta. Tetapi, saya ada satu kisah benar yang berlaku kepada seorang kawan baik saya ketika di Amerika. Kisah ini membuktikan cinta terbaik hadir apabila kita berubah menjadi terbaik.
Kisah S
Pada tahun 1996, semasa saya melangkah kaki di Illinois State University, tiada orang Melayu Malaysia dan saya satu-satunya wanita bertudung. Selepas seminggu berada di bumi Amerika, S adalah orang pertama yang menegur dan memberi salam. Ketika itu, saya mengakui betapa perkataan semudah "assalamualaikum" menjadi common language antara 2 insan berlainan bangsa dan warganegara.
S adalah gadis Pakistan yang lahir dan dibesarkan di Amerika. Bersama-samanya ketika itu ialah M, teman lelaki yang berbangsa black American yang baru setahun memeluk Islam. Dipendekkan cerita, setelah beberapa kali berjumpa, kami sepakat apabila semester seterusnya, kami akan tinggal sebilik di asrama.
Apabila kami menjadi roomate bersama 2 gadis berbangsa white American yang lain, saya mengenali S dengan lebih rapat. Setiap malam Sabtu, dia akan keluar dengan kawan-kawannya (dia tidak pernah mengajak saya). Dia cukup rajin belajar dan antara pelajar cemerlang dalam bidang biologi.
Saya pernah ke rumah keluarganya. Adik perempuannya bermekap tebal ala ghotic dan abangnya akan menyebut 'f#%@" disetiap akhir ayat. Rumahnya sederhana dan rasa tenang sepertimana rumah berkeluarga yang lain. Saya perhati, hampir di setiap dinding rumahnya tertera "786". Apabila ditanya, katanya, "that is the number of times Bismillah is mentioned in Quran." Saya diam sahaja kerana kurang arif. Hanya sekali sahaja saya tegur dengan nada serius "S, if I saw you sleeping in one bed with M again, I sleep outside."
Saya akui, kelemahan iman menyukarkan saya menegur perkara-perkara lain tetapi percaya perubahan total perlu datang dari dalam diri. Saya menerima S seadanya.
Suatu hari S kata, dia cuba nak pakai tudung. Dia mula pakai tudung putih ke kampus dengan baju lengan pendek. Sebulan kemudian, dia pakai jubah hitam di atas baju lengan pendeknya. Dia juga mula membaca tafsir Al-Quran.
Suatu hari S, beritahu saya, "Mimi do you know, when Allah send the message for the women to wear hijab, they immediately pull the curtains and cover themselves with it. Only their eyes were shown."
Beberapa minggu kemudian, S menutup mukanya dengan kain. Hanya mata yang kelihatan. Saya berkesempatan ke rumah keluarga S lagi. Rumahnya masih sama. Tetapi, isi rumahnya sudah lain. Adik perempuannya sudah berjubah dan menutup muka, tiada lagi "786" sebaliknya diganti dengan ayat Quran, abangnya juga sudah tidak menyebut "f%#@". Adik perempuannya juga ambil keputusan berhenti sekolah menengah & hanya home school. Mereka sekeluarga juga mengambil kelas bahasa arab.
Untuk pengetahuan semua, dari saat S beritahu hendak pakai tudung sehingga saat dia menutup wajahnya (termasuk tangan), ia mengambil masa kurang dari 1 tahun.
Okay sekarang cerita cinta...
Sepanjang perubahan itu, S masih dengan M (yang juga berubah menjadi Muslim yang lebih baik). Mereka berdua sudah tidak berjumpa berdua-duan. Kalau berjumpa, mereka akan berbincang mengenai hadis atau ayat Al-Quran. Suatu hari sepupu S (juga, suatu ketika pernah melalui kehidupan bebas) masuk melamar. Sepupunya adalah antara pendakwah muda di beberapa konvesyen Muslim di Amerika.
Di bahu ini, S meluahkan dalam perasaannya...
"How can I love another man, as I love M...?"
Saya tak boleh nak jawab. S keraskan hatinya yang pilu dan menerima lamaran sepupunya. M juga terpaksa menerima dengan hati yang berat.
Tiga bulan kemudian, S bercerita pengalaman keluarganya bercuti. Malah, dia juga memberitahu bagaimana sepupunya (si tunang) terpaksa mengangkat punyalah banyak beg dan dia yang berjalan di belakang berkekeh ketawa dengan adiknya. Saya juga turut gelak kecil. S bercerita dengan nada gembira & seri di muka.
Semenjak saya pulang ke Malaysia, saya sudah hilang contact dengan S. Namun, saya bersyukur sepanjang 2 tahun setengah bersama S, Tuhan tunjukkan erti sebenar perubahan.
Bagi pembaca, walaupun belum bertemu cinta, percayalah, apabila kita berubah menjadi diri kita yang terbaik, Tuhan akan buka laluan untuk cinta yang terbaik juga hadir. Saya doakan semoga kita bertemu cinta yang telah dijanjikan.

Thursday, October 28, 2010

Kalau Allah Itu Maha Baik, Kenapa Buat Neraka?

Ini kisah benar.. Kisah seorang gadis Meayu, beragama Islam, tapi cetek pengetahuan tentang agama.
Ceritanya begini, di sebuah negeri yang melaksanakan dasar 'Membangun Bersama Islam', kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis-premis perniagaan dan kompleks beli-belah, untuk memastikan para pekerja di premis berkenaan menutup aurat.
Saya tidak pasti berapa jumlah denda yang dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan, tapi selalunya mereka akan diberi amaran bagi kesalahan pertama, dan didenda jika didapati masih enggan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
Lazimnya dalam setiap operasi sebegini, seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para pegawai pihak berkuasa tempatan.
Tugasnya adalah untuk menyampaikan nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidak mampu memberi kesan yang mendalam.
Dalam satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di  sebuah pasaraya  telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat.
Maka dia pun kena denda.
Setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat, "lepas ini diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan.
Peraturan ni bukan semata-mata peraturan Majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah. Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga.
Kalau derhaka tidak mematuhi perintahNya, takut nanti tidak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah.
Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tidak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka."
Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri, tiba-tiba membentak "Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat neraka?
Kenapa tidak sediakan syurga sahaja? Macam itu ke Tuhan Maha Penyayang?" Mungkin dari tadi dia sudah panas telinga, tak tahan dengar nasihat ustaz. Sudah  la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung.
Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia.
Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab: "Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi ustaz.
Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi, atau bapa ayam.
Hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti masuk syurga.
Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur.
Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga. Kan Tuhan tu baik?"
Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu? Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan:
"Perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik, orang jahat, semua masuk syurga.
Maka apa guna jadi orang baik? Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan 'lulus' percuma.
Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga. Perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol di syurga.
Selepas tu boleh rogol lagi kalau dia nak. Tak ada siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu 'baik'.
Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?" Tanya ustaz.
"Mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas macam tu je." Rungut si gadis.
Ustaz tersenyum dan menyoal lagi: "Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?"
Gadis tu terdiam.
Ustaz mengakhiri kata-katanya:
"Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil.
Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hambaNya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain.
Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji di atas dunia ni.
Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan hak kita untuk berpakaian sesuka hati kita.
Ingatlah, semuanya dipinjamkan olehNya, sebagai amanah dan ujian.
Semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintahNya, untuk kebaikan diri kita juga."

10 Pembasuh Dosa & Penawar Hati

Hassan al-Basri r.a. berkata: "Ketika saya berkeliling di jalan-jalan kota Bashrah dan di pasarnya dengan seorang pemuda ahli ibadah, tiba-tiba saya melihat seorang tabib yang sedang duduk di atas kerusi."
Dia dikelilingi oleh laki-laki, perempuan dan anak-anak.
Di tangan mereka masing-masing terdapat gelas yang berisi air. Mereka meminta petua dan ubat untuk penyakitnya.
Kemudian, pemuda yang bersamaku maju ke depan tabib, lalu dia berkata:
"Wahai tabib, apakah kamu punya ubat yang mampu membersihkan dosa dan menyembuhkan penyakit hati? "
Kemudian, si tabib itu menjelaskan:
"Ambillah sepuluh macam ramuan:
  1. Ambillah akar pohon fakir bersama akar-akar pohon tawaddhu' (kerendahan hati),
  2. Campurkanlah padanya tumbuhan taubat,
  3. Taruhlah ke dalam bekas keredhaan,
  4. Tumbuklah dengan penumbuk qana'ah,
  5. Masukkan dalam kuali taqwa,
  6. Lalu tuangkanlah padanya air malu,
  7. Didihkanlah dengan api mahabbah,
  8. Tuangkanlah ke dalam gelas syukur,
  9. Kemudian kipaslah dengan kipas harapan,
  10. Lalu minum dengan sudu pujian.
Sesungguhnya jika kamu mengerjakan hal itu, maka akan menjadi ubat bagimu dari semua penyakit dan bencana di dunia dan di akhirat." - Dipetik daripada Kitab Nashaihul 'Ibad, Imam Nawawi

Tiada Kekuatan Selain Allah..

'"Lahaula Wala Quwata Illa Billah Hil Aliyil 'Azim."
"Tiada Kekuatan dan Daya Melainkan dari Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Mulia."
Berzikirlah selalu kerana ia adalah salah satu cara untuk kita menghubungkan diri kita dengan Allah, disamping itu, cara ini jugalah yang akan menjadikan hati manusia lembut. Sedangkan Saidina Umar (r.a.) memeluk islam dengan mendengar adiknya sendiri berzikir (membaca surah Taha), padahal sebelum ini, beliaulah seorang yang paling kuat menentang ajaran agama islam yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w).
Walaupun hanya sebaris ayat, tetapi jika dihayati sedalam-dalamnya, ia akan memberikan kesan yang mendalam dalam kehidupan. Sesungguhnya manusia ini semuanya lemah. Tidak berkuasa. Dan yang berkuasa pun, apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan kekuasaan Allah (s.w.t).
Malahan kuasa tersebut dikurniakan oleh Allah (s.w.t), bukan untuk kita kufur kepada-Nya, tetapi untuk kita lebih mendekatkan diri kepada-Nya. Selemah-lemah manusia, tidak berdaya untuk berbuat apa-apa, kecuali dengan kehendak Allah semata-mata. Jika Allah tidak mahu ia berlaku, ia mustahil akan berlaku. Tetapi apabila Allah (s.w.t) menyebut 'Kun', maka 'Yakun' lah apa yang dikehendaki-Nya.
Oleh itu, apa-apa pun perbuatan yang kita lakukan ataupun hendak kita lakukan, mestilah bersandarkan konsep zikir ini. Malahan, ayat ini juga boleh menjadikan motivasi untuk kita mencapai kejayaan. Tetapi mestilah disertakan dengan usaha yang bersungguh. InsyaAllah, walaupun kita rasa mustahil akan berlaku, ia akan berlaku.
Jadikanlah zikir ini sebagai nyanyian mulut kita setiap hari, terutamanya dikala waktu kesusahan menimpa diri. Kerana apabila manusia terus-menerus mengingati Allah (s.w.t.) sewaktu dalam kesusahan, maka mereka tidak akan sekali-kali berputus asa kerana yakin atas apa yang Allah takdirkan.
Sama-samalah kita menggunakan zikir-zikir dan ayat-ayat al-Quran sebagai motivasi kita dalam kehidupan.